Selain
memberi perhatian kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan, imunisasi adalah
satu cara utama untuk mencegah penyakit. Imunisasi adalah suatu program bagi
memenuhi Konvensyen Hak Anak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, justeru
kerajaan dan ibu bapa harus melakukan yang terbaik demi kesihatan anak-anak,
termasuklah dengan memberikan suntikan pelalian atau imunisasi.
Dari semasa ke semasa, Persatuan Doktor Pediatrik Indonesia (IDAI) melakukan
penilaian terhadap jadual imunisasi berdasarkan perubahan epidemiologi
penyakit, dasar kementerian kesihatan / Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),
dasar global, dan perolehan vaksin di Indonesia. Namun imunisasi tidak lagi
dibeza-bezakan sebagai imunisasi yang diwajibkan atau pun imunisasi yang
digalakkan. Semua imunisasi kini MESTI diberikan kepada semua bayi dan
kanak-kanak.
Berikut
14 jenis imunisasi yang mesti diberikan.
BCG Mengandungi cecair M. Bovis hidup yang sudah dilemahkan. Imunisasi
ini tidak menghalang jangkitan Tuberkulosis (TB) tetapi mengurangkan risiko
terjadinya TB berat seperti TB meningitis dan TB miliari.
Hepatitis B Vaksin kombinasi HepB dan DTP yang berdasarkan hasil
penelitian Biofarma, dapat memberikan respons antibodi yang lebih baik
berbanding jika diberikan secara berasingan.

Polio Polio boleh mengakibatkan penghidapnya lumpuh dan sukar
bernafas. Ada dua jenis vaksin polio iaitu vaksin polio tak aktif (IPV),
yang mengandungi virus polio yang dimatikan dan ia diberikan dalam bentuk
suntikan. Jenis kedua ialah vaksin polio oral (OPV) yang mengandungi
virus hidup yang dilemahkan.
DPT Ada vaksin DTaP (Difteria, Tetanus, aselular Pertusis) atau yang
dikenali sebagai vaksin DTP yang tidak mencetuskan demam. Walaupun reaksi
selepas imunisasi DTaP baik setempat mahu pun sistemik adalah lebih rendah
berbanding selepas DTP biasa, vaksin itu masih boleh menimbulkan reaksi demam
dan bengkak seperti vaksin jenis lain.
Campak Jika demam campak menjangkiti kanak-kanak terutamanya yang
berusia di bawah lima tahun, ia boleh mengakibatkan kematian.
HIB Ada vaksin kombinasi DTP dan HIB dengan daya keimunogenan yang kekal
tinggi tanpa mempengaruhi kesan imun sesama sendiri.
PCV Bayi berisiko tinggi mengalami pengkolonian pneumokokus, iaitu bayi
yang mengalami jangkitan saluran nafas atas, sering menghidu asap rokok, bayi
yang tidak menyusu badan dan bayi yang tinggal di negara empat musim (pada
musim sejuk).
ROTAVIRUS Di Indonesia, 28% kematian bayi adalah disebabkan oleh
cirit-birit. Untuk masalah itu, ada vaksin monovalen (Rotarix) dan
pentavalen (Rotareq).
INFLUENZA IDAI mengesyorkan agar imunisasi influenza diberikan kepada:
- Kanak-kanak sihat yang berusia 6 bulan hingga 2 tahun.
- Kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kronik, asma,
diabetes, penyakit buah pinggang kronik dan HIV.
- Kanak-kanak yang tinggal di tempat seperti asrama, rumah anak
yatim atau sekolah pondok.
- Orang yang boleh menularkan virus flu kepada orang yang
berisiko tinggi seperti pengasuh anak dan petugas kesihatan.
VARISELA Tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang sedang demam
teruk, kekurangan limfosit atau sel darah putih, yang alah kepada neomisin dan
kekurangan sel imun.
MMR Imunisasi MMR tetap diberikan walaupun kanak-kanak pernah menghidap
demam campak, beguk atau rubela. Tidak ada kesan imunisasi yang berlaku
terhadap kanak-kanak yang pernah mendapat perlindungan daripada satu atau lebih
daripada ketiga-tiga penyakit tersebut. Imunisasi ini juga tiada kaitan dengan
autisme.
TIFOID Tifoid adalah penyakit akut yang disebabkan oleh bakteria
salmonella typhi. Bakteria ini sering dijumpai di dalam air dan persekitaran
tempat tinggal yang tidak dijaga kebersihannya.
HEP A Hepatitis A adalah penyakit radang hati yang sering menyerang
kanak-kanak.
HPV Jadual pemberian imunisasi HPV bergantung kepada jenis vaksin yang
akan digunakan. Imunisasi ini boleh diberikan kepada pesakit sejak usianya 10
tahun. Jika vaksin HPV bivalen digunakan maka sejumlah tiga dos akan diberikan
kepada pesakit. Dos kedua diberikan sebulan selepas dos pertama, sementara dos
ketiga diberikan lima bulan kemudian. Vaksin HPV tetravalen juga diberikan
sebanyak tiga dos. Dos kedua diberikan dua bulan selepas dos pertama dan
dos ketiga pula diberikan empat bulan kemudian.
Sebelum vaksin diberikan, doktor haruslah terlebih dahulu memberikan penjelasan
tentang bahaya penyakit, manfaat imunisasi serta kesan yang mungkin timbul
setelah suntikan vaksin diberikan.
Perlu diingat, ibu bapa harus memaklumkan kepada doktor mengenai hal yang
berkaitan kontraindikasi (penggunaan ubat tertentu yang memudaratkan pesakit)
yang mungkin pernah berlaku sebelum imunisasi diberikan termasuklah sejarah
penyakit anak, alahan terhadap neomisin, sejarah imunisasi sebelumnya dan
rawatan yang sedang dilakukan. Perkara ini berguna bagi menjangka reaksi tubuh
kanak-kanak selepas diberikan imunisasi.
Sumber: www.MeetDoctor.com
Disemak oleh Dr. Vinny Yoanna
http://my.entertainment.yahoo.com/news/14-imunisasi-wajib-untuk-anak-053906597.html